Kerajaan perlu tambah subsidi, geran untuk tangani kenaikan harga barang

0
500

PAS mencadangkan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) menambah subsidi, memberikan geran dan menawarkan pinjaman tanpa faedah sebagai insentif jangka panjang bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata insentif berkenaan dapat disasarkan untuk dimanfaatkan petani, penternak, peladang, nelayan dan pihak lain dalam rantaian keperluan pengguna.

Selain itu, katanya kerjasama rentas kementerian juga perlu bagi memastikan usaha menyeluruh bukan saja merangkumi penawaran insentif malah membabitkan aspek penguatkuasaan.

Katanya, isu kenaikan harga barang yang mendadak ketika ini tidak lagi terhad tanggungjawabnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sebaliknya kerajaan perlu menggabungkan agensi dan kementerian lain untuk membantu menangani isu ini secara kolektif.

“Antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), MOF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini supaya lebih banyak inisiatif dan tindakan penguatkuasaan bersepadu dapat dirangka serta dilaksanakan.

“Anggota RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga dapat digerakkan untuk membantu pemantauan.

“Kerajaan terutama melalui MOF diharap bermurah hati untuk menambahkan subsidi, memberikan geran dan menawarkan pinjaman tanpa faedah sebagai insentif jangka panjang dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata selain itu, KPDNHEP dan agensi di bawah KDN boleh bekerjasama untuk terus memantau dan menguatkuasakan tindakan mengekang manipulasi, monopoli, sorok barang, pencatutan, penyeludupan dan sebagainya.

Beliau berkata, ia antara lingkaran yang dapat memastikan harga barangan keperluan terus kompetitif.

Katanya, negara juga perlu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan import yang masih berterusan dengan peranan kerjasama antara kementerian.

Menurutnya langkah itu demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia diutamakan dengan mengambil kira masih ramai masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan tidak mampu menyerap kenaikan harga, sekali gus memerlukan perhatian serta tindakan segera.

“Sedang kita berusaha kembali ke rutin kehidupan dan memulakan semula pelbagai urusan, keperluan yang cuba dipenuhi mungkin menyebabkan permintaan melebihi penawaran.

“Di sinilah kenaikan harga barang tidak dapat dielak, selain faktor musim tengkujuh serta perkara berkaitan pembekalan yang timbul rentetan pandemik COVID-19,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here