Bersatu Sabah sokong usul hadkan jawatan Ketua Menteri dua penggal

0
304

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah sebulat suara menyokong usul mengehadkan jawatan Ketua Menteri negeri itu tidak melebihi dua penggal.

Keputusan itu dicapai dalam persidangan bahagian Bersatu Sabah selepas usul mengenainya disokong bahagian Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau yang bersidang semalam.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, berkata usul itu bagi memastikan Ketua Menteri dan anggota kerajaan negeri dapat menumpukan agenda pembangunan dan aspirasi rakyat.

Katanya, ia juga selaras dengan pembaharuan yang dilakukan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk sebuah institusi pentadbiran yang menerapkan tadbir urus yang baik dan telus serta meningkatkan keberkesanan proses semak dan imbang.

“Ini juga selari dengan pengukuhan perpaduan GRS. Ia adalah satu daripada enam usul yang dicadangkan dalam persidangan tahunan bahagian Bersatu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Usul lain yang disuarakan termasuk terus menyokong kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam mengemudi parti di peringkat persekutuan dan negeri.

Katanya, BERSATU Sabah juga sebulat suara menyokong usul mendukung kepemimpinan dan usaha Hajiji selaku Ketua Menteri bagi melaksanakan aspirasi dan objektif yang digariskan dalam halatuju pembangunan negeri Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Usul ini merangkumi usaha membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; dan membangunkan modal insan.

“Juga terdapat usul menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh kepemimpinan parti komponen GRS untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komponen GRS yang terbina sejak memorandum persefahaman (MoU) GRS dimeterai pada 9 Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata, persidangan bahagian BERSATU semalam juga sebulat suara meminta kerajaan Pusat menyempurnakan segera segala kepentingan dan hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, permintaan itu selari dengan akujanji Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN-16) tahun lalu iaitu memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan MA63.

“Usul lain yang turut ditekankan ialah harapan agar kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi pertimbangan yang khusus kepada negeri Sabah terutama dalam aspek yang berhubung kait dengan pembangunan prasarana, pendidikan dan perumahan rakyat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here