[VIDEO] Bukan fenomena normal kalau naik harga melampau

HARGA barangan keperluan yang meningkat secara mendadak disifatkan bukan lagi satu fenomena normal yang perlu ditelan oleh rakyat begitu sahaja apabila kos barangan keperluan ini meningkat dengan melampau.

Penganalisis ekonomi Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, isu kenaikan harga barang ini merupakan satu isu yang sensitif dalam kalangan rakyat jika ingin disifatkan sebagai ‘fenomena normal’.

“Kenaikan harga barang ini ada kaitan dengan kos sara hidup rakyat, jadi apabila dua perkara ini dikaitkan, ini merupakan perkara yang sensitif.

“Memang betul, perkara ini satu fenomena yang normal, tapi ia sudah tak menjadi normal apabila terdapat kenaikan yang begitu melampau kepada sesetengah barangan. Katakanlah harga barangan itu meningkat lebih daripada 100%, tidak dinafikan dalam tempoh sekarang, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan tenaga kerja yang terhad rakyat sudah boleh jangka harga akan melambung,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambahnya, jika situasi harga semasa barang keperluan ini memerlukan pengorbanan daripada pengguna, Ahmad Azrin berpandangan perkara itu adalah tidak wajar.

“Kalau nak suruh pengguna berkorban sedikit, boleh, tetapi kalau peningkatan harga barangan terlalu tinggi, ia tidak wajar.

“Jadi, perlu ada campur tangan daripada kerajaan untuk memastikan rantaian pengedaran berada pada tahap yang kita boleh katakan sebagai ‘menang-menang’ di mana situasi ini melibatkan peniaga akan mendapat keuntungan biarpun dalam margin kecil, dan pengguna bayar pun, bayar pada kadar yang mahal sedikit sahaja.

“Sedangkan apa yang berlaku adalah, peniaga dapat untung sikit, pembeli pula bayar pada kadar yang terlalu mahal. Yang dapat untung besar ini komponen sebelum pengguna iaitu ‘orang tengah’. Ini perkara yang kita perlu elak. Kalau boleh, setiap pihak dalam rantaian pengedaran ini masing-masing berkorban. Barulah wujud ‘equilibrium’,” katanya.

Namun, beliau menambah, secara realitinya perkara ini agak sukar untuk dicapai kerana beliau berpandangan akan ada kelompok di dalam rantaian pengedaran yang sentiasa menginginkan keuntungan yang besar, sekaligus akan menyebabkan tekanan kepada ‘end-user’.

Sehubungan itu, Ahmad Azrin berkata, terdapat dua tindakan proaktif yang perlu diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam usaha mengatasi isu ini iaitu dengan memanfaatkan perkembangan teknologi serta memperluas publisiti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

“Sebelum ini memang ada pemantauan, cuma sekarang ini kita perlu tengok bagaimana perkembangan kemudahan teknologi yang boleh bantu kerajaan untuk pantau harga. Sebagai contoh, KPDNHEP dah ada bangunkan aplikasi Price-Catcher itu, tetapi kita tak nampak setakat mana pengguna ada kesedaran terhadap kemudahan itu kerana kurang publisiti.

“Pemantauan secara fizikal yang agresif perlu dijalankan. terutamanya pemantauan secara fizikal yang boleh penguatkuasa dapat gunakan akta sedia ada seperti akta pencatutan. Cuma akta pencatutan ini masih lagi kurang publisiti dan kurang dipromosikan.

“Kalau kerajaan dapat perluaskan lagi publisiti ini, peniaga akan takut untuk memanipulasi harga. Kita tahu, memang ada peniaga dikenakan denda, tetapi perkara ini perlu diuar-uarkan dengan lebih agresif lagi,” ujarnya.