Model pengoperasian Hospital Cyberjaya sedang diteliti

0
435

KEMENTERIAN Kesihatan akan membuka permintaan untuk cadangan (RFP) bagi model pengoperasian Hospital Cyberjaya kepada pakar dan juga syarikat-syarikat perubatan swasta, termasuk cadangan bagi perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya yang layak pada kadar hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata rangka bagi RFP itu telah pun siap dan pihaknya pasti akan mengambil masa untuk meneliti semua cadangan yang akan dihantar.

“Dalam model pengoperasian dalam cadangan itu, kerajaan mungkin akan pertimbangkan perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya.

“Sekarang ini ada pelbagai model diguna pakai iaitu hospital kerajaan, hospital swasta dan hospital hibrid iaitu ia hospital swasta tetapi kerajaan boleh memperoleh perkhidmatan untuk golongan tertentu mendapat rawatan, itu antara model yang difikirkan,” pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Klinik Kesihatan Kapar di Klang, Selangor pada Sabtu.

Pada masa yang sama Khairy berkata, Hospital Putrajaya juga akan menambah 250 katil yang akan meningkatkan kapasiti hospital itu dan juga boleh memberi perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya.

Khairy berkata, demikian bagi mengulas status operasian Hospital Cyberjaya yang dilakukan secara kerjasama awam-swasta berkonsepkan ‘leasing’ yang diputuskan kerajaan pada 5 Mei lepas. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here