Kisah ‘Abah Teguh Kita Bersama’ dibuku

Buku koleksi 370 foto perjalanan Muhyiddin dilancarkan untuk tatapan rakyat

0
946

MAJLIS Pelancaran Buku Biografi Bergambar Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘Abah Teguh Kita Bersama’ oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon diadakan di Grand Ball Room Intercontinental Hotel, Kuala Lumpur, pada jumaat.

Menurut Muhyiddin ketika berucap dalam majlis pelancaran tersebut, banyak liku dan jatuh bangun beliau lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak.

“Sejarah hidup saya bermula sebagai seorang pemuda biasa hinggalah menjadi Perdana Menteri, iaitu suatu kedudukan yang tidak pernah saya impikan dalam hidup saya.

“Perjalanan saya untuk sampai ke situ pula bukanlah mudah. Banyak liku dan jatuh bangun yang saya lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik itu merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah politik beliau.

“Bukan sahaja saya berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang perlu ditangani dengan cermat, malah tekanan politik yang datang dari pelbagai sudut,” ujar bekas Perdana Menteri itu.

Katanya lagi, beliau berasa amat tersentuh setiap kali saya disapa dengan panggilan ‘Abah’ kerana beliau merasakan panggilan itu bukan dibuat-buat tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas.

“Saya sendiripun tidak menjangkakan yang ramai orang baik tua atau muda memanggil saya dengan panggilan Abah. Ke mana-mana saja saya pergi orang panggil saya Abah.

“Saya berasa amat tersentuh setiap kali saya disapa dengan panggilan Abah,” katanya.

Muhyiddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Rashid Hasnon dan pasukan penulis buku biografi bergambar “Abah Teguh Kita Bersama” atas usaha yang dilakukan untuk menghasilkan buku ini

“Mudah-mudahan buku ini yang merakamkan sejarah perjalanan hidup saya secara bergambar akan memberikan manfaat kepada semua pembaca,” katanya.

Buku Biografi Bergambar Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘Abah Teguh Kita Bersama’ ini menampilkan koleksi 370 foto yang mengisahkan perjalanan hidup insan kelahiran Muar, Johor, Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin. 

Nama beliau telah menjadi sebutan di setiap pelosok negara dan kini popular dengan panggilan mesra sebagai ‘Abah’, setiap foto dengan sendiri mengabadikan amanah, idea, sumbangan dan legasi kepimpinan beliau di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan, selaku sebagai seorong anak, suami, ayah, pernimpin politik dan kerajaan. 

Tidak ketinggalan ujian dan liku-liku perjalanan beliau di setiap peringkat kehidupan sepanjang tujuh dekad lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here