Pembesar suara punca lelaki maut dicekik

0
320

Hanya kerana pembesar suara, seorang lelaki maut disyaki dicekik dalam pergaduhan di hadapan warung pasar pagi di Flat Ashby Road, Ipoh, pagi tadi.

Seorang wanita yang melihat kejadian tersebut melaporkan kepada polis pada pukul 9.50 pagi bagi meleraikan pergaduhan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun mangsa, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, didapati maut di lokasi kejadian dan disahkan petugas kesihatan yang hadir selepas itu.

Menurutnya, berdasarkan temubual saksi yang juga pemilik gerai di tempat kejadian memaklumkan datang satu lelaki menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari kira-kira pukul 7 pagi bertanyakan mangsa.

“Kira-kira pukul 9 pagi mangsa tiba seorang diri dengan berjalan dan duduk di kerusi di bawah khemah depan kedai sebelum memesan minuman.

“Setengah jam kemudian datang satu lagi lelaki (berjumpa mangsa). Lelaki itu kemudian beredar namun datang semula dengan bapa saudaranya untuk berjumpa mangsa.

“Kemudiannya berlaku pertengkaran (mangsa dan suspek) sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Kedua-dua suspek berjaya memegang mangsa,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, tidak lama kemudiannya datang seorang lagi lelaki yang juga bapa kepada salah satu suspek di situ yang turut memegang mangsa.

“Suspek itu (baru tiba) memeluk leher (mangsa) dari belakang sementara anaknya duduk atas belakang badan mangsa yang berada dalam keadaan meniarap.

“Suspek memaut leher mangsa hampir 15 minit sehingga lemah. Tidak lama kemudian, kawan mangsa datang dan suspek melepaskannya (mangsa) namun ketika itu dia sudah tidak bergerak,” katanya.

Katanya, susulan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia 60, 47 dan 34 tahun dilokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut merampas pisau lipat milik mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dikatakan mangsa mencuri portable speaker (pembesar suara mudah alih) di warung milik salah seorang suspek.

“Mangsa yang berada ditempat kejadian dikatakan memasang speaker milik suspek dengan kuat sehinggalah berlaku pergaduhan. Mangsa juga di katakan agak kurang siuman,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai tujuh rekod lampau pelbagai kes jenayah termasuk berkaitan dadah.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa terdapat luka kecil di dahi kanan dan di pergelangan tangan kiri.

“Mayat mangsa dibawa ke hospital HRPB untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here