Kerajaan luluskan peruntukan lebih RM80 juta bayar elaun JKKK Sarawak

0
301

KERAJAAN meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wilayah Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Jemaah Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat JKKK di Wilayah Sarawak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

” Elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak sudah dibayar dan atas persetujuan kerajaan Sarawak juga, elaun bagi Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK akan dibayar tidak lama lagi.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah peruntukan elaun tahunan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg di Miri hari ini.

Mahdzir berkata, pembayaran bagi ketiga-tiga elaun tersebut yang sebelum ini menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK diperingkat akar umbi.

“Selain akan dapat mengurangkan beban kewangan Kerajaan Sarawak khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK.

“Ini adalah sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Wilayah Sarawak yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini sebanyak RM35.8 juta setahun,” katanya.

Kerajaan Persekutuan kata beliau, menyediakan peruntukan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula kata beliau, melihat peranan JKKK dan JPKKP adalah amat penting terutamanya dalam situasi negara berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya

Justeru kata Mahdzir, JKKK dan JPKKP bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat terkini daripada pihak kerajaan kepada komunitih setempat malah turut terlibat sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti yang dianjurkan oleh kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here