Anak Mr. Os teruskan legasi, enggan dibayangi populariti arwah bapa

0
1096

BAGAIKAN menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Mr. Os, kini dua orang anak kepada pelawak berkenaan memberanikan diri tampil mencuba nasib ke dalam bidang seni.

Meskipun pada mulanya enggan dibayangi nama bapa mereka, Hafizul dan Hazwan berharap kedatangan mereka diterima baik oleh peminat dengan bakat yang dimiliki.

“Pada mulanya memang kami tidak mahu dikenali ramai sebagai anak Mr. Os kerana bimbang orang ramai anggap kami menumpang populariti arwah ayah.

“Apa yang paling utama, akan ada perbezaan dalam aksi yang dipersembahkan dalam pertandingan ini nanti.

“Kalau boleh kami enggan dibayangi arwah bapa, sebaliknya meneruskan legasinya sahaja,” ujar Hafizul ketika ditemui baru-baru ini.

Allahyarham Mr Os semasa hayat popular dengan rancangan komedi.

Kedua-dua adik beradik ini bergabung menerusi kumpulan Arteh dan menyertai rancangan realiti Mencari Sepahtu Yang Hilang.

Rancangan tersebut diilhamkan oleh Jep Sepahtu yang mahu mencari anggota baharu bagi menyertai Sepahtu Reunion.

Dalam pada tu, mereka berharap tidak akan ada yang cuba membandingkan jenaka mereka dengan arwah bapa memandangkan Arteh masih baharu dan memerlukan banyak pengalaman.

Malah ketika menghantar video uji bakat tempoh hari, mereka langsung tidak menyebut nama bapa sendiri kerana enggan menggunakan dibayangi.

“Kalau nak kata kami layak sertai rancangan ini kerana arwah bapa, sudah tentu ia tidak benar. Malah, identiti kami hanya terdedah ketika ditemubual secara maya bersama Pak Ya.

“Sebelum ini memang kami pernah bertemu dengan Pak Ya ketika arwah ayah masih hidup, namun kami dipilih bukanlah sebab Pak Ya mengenali kami,” jelasnya.

Sebanyak 12 kumpulan peserta akan menyertai Mencari Sepahtu Yang Hilang dan kesemua peserta akan diadili oleh Jep, Rahim dan Pak Ya bermula 12 Disember ini menerusi Astro Warna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here