Isu kartel: Beberapa individu dipanggil beri keterangan – Hamzah

0
17

BEBERAPA individu telah dipanggil bagi memberikan kenyataan susulan isu kartel yang dibangkitkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati isu berkenaan tidak pernah wujud. 

“Siasatan dalaman PDRM mendapati tiada isu namun saya tidak berpuas hati, saya menyuruh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk meneruskan siasatan.

Saya difahamkan beberapa orang dipanggil untuk memberikan kenyataan yang tertentu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di ibu negara hari ini.

Hamzah berkata beliau akan berkongsi keputusan isu kartel PDRM ini selepas siasatan selesai dijalankan.

Sebelum ini dilaporkan, Hamzah mengesahkan tidak wujud gerakan kartel dalam pasukan PDRM ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat. 

Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara April lepas menyatakan wujudnya kartel dalam pasukan keselamatan itu, selain cubaan untuk menjatuhkan beliau kerana lantang mendedahkan salah laku, integriti dan rasuah, dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu. 

Sementara itu, Hamzah berkata kementeriannya hampir mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) 100 hari pertama melalui tiga cara. 

“Mereka (orang awam) boleh membuat laporan terus di Pasukan Gerakan Am kerana sudah jadi seperti balai polis dan laporan terbabit akan terus diberi kepada balai polis tertentu. 

“Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) sistem perkongsian pintar antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini memudahkan proses pengesahan kematian tanpa perlu menunggu lama seperti kaedah yang terdahulu. 

Hamzah berkata Visa Elektronik (eVisa) diberikan kepada 35 negara mulai hari ini daripada 10 negara sebelum ini bagi memudahkan rakyat Malaysia menjana ekonomi serta orang luar melawat negara ini. — BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here