[VIDEO] Jatuh ranking kalau tolak order tidak halal – penghantar makanan

PENGHANTAR makanan atau popular dengan gelaran ‘rider’ kali ini dikaitkan dengan isu makanan halal dan tidak halal yang diletakkan dalam kotak penyimpanan sama apabila tular baru-baru ini mengenai pelanggan yang menerima makanan tidak halal selepas penghantar makanan tersilap mengambil bungkusan.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Penghantar kemuka lima resolusi bantu perkerja P-Hailing

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Rider dakwa ditindas, terima bayaran rendah

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Bukan senang nak jadi ‘rider’, selalu kena marah

Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Muhammad Zulhelmi Mansor berkata, kes ini bukanlah kes baru tetapi sudah banyak kali terjadi.

“Pihak persatuan juga sudah beberapa kali mengutarakan isu ini dan juga sudah memberitahu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkaitan dengan isu ini,

“Tapi kita nampak seperti seperti tiada sebarang penyelesaian bagi masalah ini.” katanya ketika dihubungi Satu Berita.

Semalam, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung seorang pengguna yang mendakwa dia menerima makanan tidak halal apabila penghantar makanan tersebut tersilap mengambil bungkusan.

Selain itu, isu ini juga turut menindas penghantar makanan beragama ISLAM kerana sekiranya penghantar makanan didapati menolak pesanan tidak halal, maka ‘ranking’ mereka akan jatuh dan akan menjejaskan gaji mereka.

“Kalau rider tolak makanan yang tidak halal terutamanya yang ISLAM sepatutnya tiada masalah tetapi apa yang berlaku ialah akan memberi kesan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) rider dan sistem ranking mereka serta menjejaskan gaji,

“Jadi ini tidak adil, ini penindasan dan penganiayaan kepada rider” ujarnya.

Menurut beliau, penghantar makanan sepatutnya mempunyai hak untuk menolak pesanan tidak halal dan  tidak sepatutnya dikenakan tindakan atas perbuatan tersebut.

Zulhelmi turut mencadangkan pihak JAKIM untuk turun padang ke syarikat-syarikat penghantar makanan dan menekankan tentang garis panduan serta SOP berkaitan isu ini.

“Bila ada garis panduan dari kerajaan, sudah pasti syarikat-syarikat ini akan mematuhi SOP atau garis panduan yang telah ditetapkan.” katanya. – SB