Ahli Parlimen ‘mengelat’ selit perbahasan ketika tanya soalan ditegur

0
425

SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, hari ini menegur tindakan Ahli Parlimen yang cuba berbahas ketika bangun untuk mengemukakan soalan.

Tegas Azhar Azizan, tindakan itu melanggar peraturan berdasarkan Perkara 24 (4) Peraturan Mesyuarat, yang jelas menyatakan bahawa sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dijadikan helah untuk berbahas.

“Ini bukan waktu berbahas. Ini adalah waktu pertanyaan dan menteri menjawab,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Azhar Azizan berkata, tindakan Ahli Parlimen mengemukakan mukadimah panjang ketika bertanya soalan pada sesi soal jawab lisan juga tidak kena.

Katanya, kerana tindakan itu pada sesi soal jawab hari ini hanya empat soalan dapat ditanya selepas kira-kira sejam persidangan berlangsung.

“Saya mendapati kita hari ini baru soalan keempat (dalam tempoh) sejam dan ini adalah satu perkara amat tidak memuaskan hati.

“Jika mengikut konvensyen di House of Commons, soalan ditanya hanya 30 saat dan jawapan diberikan seminit. Di sini, kita memberi hingga tiga dan dua minit setengah,” katanya.

Justeru, katanya, beliau mahu amalan yang ditegur itu dihentikan kerana prinsipnya ialah bagi membolehkan sebanyak mungkin soalan ditanya dan dijawab.

“Ia bukan untuk dibolot 10 soalan teratas dalam senarai. Justeru, saya mohon kerjasama semua, mukadimah itu dikurangkan dan soalan ditanyakan serta dijawab terus.

“Saya mendapati mukadimah membabitkan satu minit setengah dan soalan mengambil masa hanya 10 saat.

“Ia mengambil masa Yang Berhormat lain untuk bertanya soalan. Ini tidak adil kepada semua Yang Berhormat sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here