31 PATI lemas, 2 selamat, 1 masih hilang semasa menyeberangi Selat Inggeris

0
22

SERAMAI 31 daripada 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan dalam bot kecil lemas ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris, semalam.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memaklumkan, dua lagi berjaya diselamatkan dan ketika ini petugas keselamatan masih mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.

“Dua mangsa berjaya diselamatkan namun mereka masih dalam bahaya kerana mengalami hipotermia selepas terdedah kepada cuaca sejuk.

“Kejadian ini merupakan satu tragedi buat Perancis, seluruh Eropah dan terhadap manusia sejagat untuk melihat pendatang asing terkorban di lautan sebegini,” katanya.

Kejadian berkenaan disifatkan sebagai yang terburuk melibatkan migran di perairan di antara Perancis dan Britain.

Selat berkenaan merupakan laluan kapal paling sibuk di dunia selain arus di kawasan berkenaan dilaporkan sangat deras.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meluahkan rasa kecewa di atas kejadian tersebut.

“Saya sangat bersimpati kepada mangsa yang terlibat serta keluarga mereka namun tragedi berkenaan menekankan ia sangat berbahaya untuk menyeberangi Selat Inggeris dengan cara begini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet tergempar.

Walaupun kedua-dua kerajaan menyalahkan sindiket penyeludupan, namun beberapa ahli politik Perancis berkata, keadaan ini boleh dielak jika Britain mengubah polisi imigresen melibatkan pendatang asing.

Dalam insiden terdahulu, 14 migran ditemui lemas selepas cuba menyeberangi selat berkenaan untuk ke Britain.

Tahun lepas, tujuh terkorban manakala dua lagi masih hilang sementara empat maut pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here