[VIDEO] Perlu beri penekanan RnD, elak kenaikan harga sayur-sayuran – FOMCA

0
490

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpandangan kerajaan harus bertindak dengan cepat dan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi isu kenaikan harga sayur-sayuran.

Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, Malaysia harus beri penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (RnD) bagi sektor pertanian seperti yang dibuat di negara jiran.

“Sepatutnya mungkin kita kena buat satu perancangan, kalau kita lihat negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia yang juga merupakan negara pertanian, mereka boleh menghasilkan tanaman berskala besar, tanaman-tanaman berkualiti. 

“Kerana kalau kita lihat di Thailand, mereka memang beri penekanan dari segi RnD untuk sayur-sayuran,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Oleh itu menurutnya, Malaysia juga perlu memberikan penekanan kepada RnD supaya negara dapat menghasilkan hasil pertanian yang lebih besar dengan menggunakan teknologi moden.

Tambah beliau, dengan memberi penekanan kepada sektor pertanian ini, ia boleh menjamin keselamatan dari segi bekalan makanan terutamanya sayur-sayuran yang menjadi makanan harian masyarakat di Malaysia.

“Negara perlu memberi penekanan dan menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu daripada sektor yang penting, selain daripada sektor perindustrian dan sebagainya.

“Jadi kita harus berbuat demikian untuk memastikan bahawa makanan ruji rakyat Malaysia perlu mencukupi dan tidak bergantung kepada import dari luar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, bekalan sayur-sayuran di pasaran negera ini berkurangan adalah akibat cuaca yang tidak menentu terutamanya di kawasan pertanian seperti di Cameron Highland, Pahang.

“Antara faktor-faktornya adalah keadaan musim yang berlaku pada masa sekarang, sekarang ni musim tengkujuh di kawasan penanaman utama seperti Cameron Highlands, Ulu Yam dan sebagainya yang terjejas dengan musim tengkujuh.

“Sayur-sayuran tempatan yang dihasilkan itu mungkin mengalami kekurangan bekalan disebabkan faktor cuaca dan begitu juga kesan-kesan yang dialami daripada negara-negara yang menjadi pembekal kepada sayur-sayur yang kita import,” katanya lagi.

Antara sayur-sayuran yang dilapor mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga daripada RM7 kepada RM16 sekilogram, sawi pendek RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari RM8 kepada RM15 sekilogram, kubis RM4 kepada RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14. 

Situasi itu membuatkan rata-rata warganet kecewa dan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

“Beli sayur, ayam dan barang asas lain, jumlah bil lebih dari RM60. Sakit hati betul,” ciap seorang pengguna Twitter.

“Sebab sayur naik harga, terpaksa google rumput yang boleh dimakan, mujur ada,” tulis seorang pengguna Facebook. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here