Nama besar Hollywood terbit siri TV berkaitan skandal 1MDB

0
457

BEBERAPA nama besar di Hollywood dilaporkan sedang menerbitkan sebuah siri televisyen berkaitan skandal penipuan kewangan 1MDB yang dikaitkan dengan bekas pemimpin negara.

Portal hiburan Variety melaporkan siri televisyen berdasarkan buku berkaitan 1MDB “Billion Dollar Whale” diterbitkan oleh pencipta siri popular Amerika, “House of Cards”, Beau Willimon dan rakan penerbitnya di Westward, John Tappis serta SK Global.

SK Global yang merupakan penerbit bersama filem popular “Crazy Rich Asians”, dan Westward sebuah studio muzik dan penerbit TV, filem bebas milik Willimon akan membiayai dan menyelaras hal-hal pembangunan dan penerbitan di semua peringkat.

SK Global turut meletakkan beberapa pegawai kanan mereka sebagai penerbit eksekutif siri tv berkenaan

Antaranya, Ketua Pegawai Eksekutif bersama SK Global, John Penotti dan Charlie Corwin serta Presiden bahagian TV SK Global, Marcy Ross.

Pelakon negara yang turut dikenali gadis Bond, Datuk Michelle Yeoh juga akan menjadi penerbit siri berkenaan.

Sementara itu, finalis tiga kali anugerah Pulitzer yang juga Profesor di Columbia University dan dikenali menerusi hasil kerjanya dalam “M. Butterfly,” “Yellow Face” and “Soft Power”, David Henry Hwang akan bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit eksekutif.

Menyifatkan siri itu sebagai “kisah tamak, penipuan kewangan, dan satira sosial komedi gelap”, Penotti dan Corwin berkata, sukar untuk menggambarkan kesan skandal tersebut kepada budaya masyarakat di Asia dan di seluruh dunia.

“Kami sangat teruja kerana dapat menghidupkan kisah luar biasa ini untuk khalayak global,” kata Willimon dan Tappis dalam satu kenyataan.

Buku “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World”, ditulis oleh wartawan Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope, berkisar kepada Low Taek Jho, seorang lelaki yang didakwa mendalangi skandal 1MDB yang disifatkan sebagai salah satu kes penipuan terbesar pernah direkodkan di dunia.

Kes itu kini dalam siasatan di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah berhubung dana negara.

Pada Julai tahun lalu, Najib disabitkan tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM42 juta dana 1MDB melalui SRC International.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here