Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal fitnah Radzi Jidin

0
250

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Balik Pulau membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan tidak tepat dan palsu mengenai Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Balik Pulau Rosmady Mat Abu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, jam 2.00 petang Khamis.

Beliau berkata, kandungan artikel tersebut adalah tidak lain ingin menjatuhkan kredibiliti Menteri Kanan Pendidikan itu selain berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) keseluruhannya.

Katanya, artikel yang disiarkan pada 21 Nov lepas bertajuk “Gempar! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” jelas tidak benar dan berniat jahat serta boleh mencemarkan reputasi KPM.

“Diharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius ke atas pemilik portal terlibat kerana menyebarkan berita palsu dengan harapan tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here