Polis buru empat lelaki terbabit kes culik dan bunuh

0
838

Polis memburu empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek masih bebas manakala dua rakan mereka diberkas polis pada 14 November lalu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.

“Dua lelaki ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari.

“Empat lelaki yang dikehendaki ialah Davadas Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; Xavier Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor; Murugan Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya diculik semasa berada di rumah.

Polis kemudian menerima panggilan memaklumkan mangsa sudah berada di Hospital Selayang, Selangor.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini dua lelaki dihadapkan atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh pada 13 November lalu.

Tertuduh, M Murugan, 44, yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan dan penganggur, Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas dituduh menculik dan membunuh A Vasudevan, 39.

Perbuatan itu dilakukan pada 13 November di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Bandar Springhill, Lukut, di sini.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum mati manakala Seksyen 364 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan sebat.

M MURUGAN dan Wong Yon Kuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here