PGA rampas lebih 4 tan daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand

0
482

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 3 merampas 4,003 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM120,870 sepanjang penugasan Op Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand membabitkan Kedah dan Perlis antara 24 Oktober hingga semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara Superintendan Azhar Hashim berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut menahan enam pendatang tanpa izin warga Myanmar dan Thailand berumur 25 hingga 60 tahun di kawasan Bukit Kayu Hitam.

Katanya, turut ditahan sepanjang penugasan itu ialah seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang menceroboh pagar sempadan di kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Padang Besar, Perlis.

“Batalion 3 berjaya merekodkan 15 kes kejayaan dan kebanyakan kes membabitkan aktiviti penyeludupan daun ketum terutama di kawasan Wang Kelian, Chuping dan Padang Besar di Perlis.

“Kita juga dibantu Unit Berkuda dan Pasukan Gerakan Udara PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang terbukti berjaya mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara apabila hanya ada satu kes sahaja yang berlaku di kawasan rondaan unit ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Azhar berkata keadaan itu jelas membuktikan kerjasama antara pelbagai unit yang melakukan pengawasan berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan terutama di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti.

Mengulas mengenai modus operandi penyeludup ketika ini, beliau berkata sindiket kini beralih ke kawasan berbukit di Wang Kelian dan Padang Besar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket dah tukar taktik apabila di Kedah hanya melibatkan penyeludupan pendatang asing dan di Perlis lebih kepada menyeludup ketum terutama di Wang Kelian disebabkan kawasan berbukit tinggi kerana itu kita perlukan Unit Berkuda yang boleh memasuki kawasan hutan, kebun dan kawasan berbukit,” katanya.

Beliau berkata kesemua pendatang asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/63. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here