Tujuh individu akan anggotai RCI TH

Nama-nama mereka akan dipersrmbah kepada Agong Jumaat depan

0
221

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad pada Sabtu memaklumkan, Jemaah Menteri memutuskan seramai tujuh individu akan menganggotai Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut beliau, senarai keanggotaan membabitkan tujuh individu telah diputuskan dan disiapkan semalam untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong Jumaat depan.

Tambah beliau, jika diperkenankan, RCI ini tidak akan mengganggu gugat pengoperasian; urusan deposit dan segalanya yang membabitkan TH ketika ini kerana ia diwujudkan bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan badan tersebut antara 2014 hingga 2020.

“Senarai itu sudah dimuktamadkan dan Insya-Allah akan dipersembahkan oleh Perdana Menteri dalam perjumpaan mingguan bersama Yang di-Pertuan Agong, Jumaat nanti.

“Selepas diperkenankan, barulah kita boleh mengisytiharkan senarai nama yang terbabit dengan RCI, setakat ini kita letakkan tujuh orang,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri Majlis Serahan Program TH Prihatin 2021 Negeri Perak di Dewan Serba Guna Pejabat TH Negeri Perak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengarah Wilayah Tengah TH, Khairoddin Ahmad; Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat TH, Ahmad Shahriman Johari dan Pengarah TH Perak, Mohamad Abas.

Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) pada Julai lepas bertujuan membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH. – SB
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here