[VIDEO] Sekitar proses mengundi PRN Melaka

0
653

PROSES pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah pun bermula sekitar jam 8 pagi hari ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Para pengundi telah hadir di tempat mengundi dan mula beratur seawal jam 7.40 pagi dan menjalani saringan suhu badan sebelum melakukan proses menyemak daftar pemilih.

Menurut Bernama, Maimon Hassan, 78 menjadi pengundi pertama yang tiba dan mendaftar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun bagi DUN Lendu seawal jam 7.30 pagi sambil ditemani anaknya, Anita Abu Hassan, 54 untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Maimon Hassan, 78 ialah pengundi terawal yang tiba Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Daun bagi DUN Lendu seawal jam 7.30 sambil ditemani anaknya dan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)- Foto Bernama

Difahamkan, pengundi-pengundi hadir awal pagi di pusat mengundi kerana cuaca diramalkan ribut petir di kesemua kawasan pada sebelah petang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

PRN yang diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman COVID-19 memerlukan pengundi untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitu muka, penjarakkan fizikal serta mengimbas suhu badan dan kod respons pantas (QR Code) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

Petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut hadir bagi melakukan sanitasi berkala di pusat mengundi dan sentiasa bersedia di khemah tempat mengundi khas sekiranya terdapat pengundi yang bergejala.

Petugas KKM bersiap sedia untuk melakukan sanitasi berkala dan menguruskan pengundi bergejala. Foto- Sumber Kini

Sementara itu, calon Ketua Menteri dari Perikatan Nasional (PN), Mas Ermieyati Samsudin tiba di pusat mengundi di SK Ramuan China, Alor Gajah Melaka sekitar jam 7.58 pagi dan selesai membuang undi sekitar jam 8.12 pagi.

Petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dilihat menolak kerusi roda warga emas yang uzur bagi membantu melancarkan proses membuang undi mereka.

Petugas SPR turut dilihat membantu warga emas uzur di pusat mengundi bagi memudahkan proses mereka membuang undi.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

Setakat jam 10 pagi, 17 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi biasa direkaodkan telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here