‘Hilang satu undi, kita rugi’ – naik ambulans untuk mengundi

0
348

SEORANG pesakit strok dibawa menaiki ambulans demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Abdul Rahim Yaacob, 57, yang mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dibawa dari kediamannya di Kampung Durian Daun, kira-kira 2.4 kilometer dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun `K’ menggunakan ambulans St. John Ambulance Malaysia.

Beliau yang menghidap strok ringan sejak lapan bulan lalu berkata petugas di pusat mengundi itu banyak membantunya terutama menolak kerusi roda bagi menunaikan undi.

“Kalau hilang satu undi, kita rugi, jadi pakcik undilah… walaupun tak sihat dalam keadaan strok, jadi kerana negara kenalah tunaikan kewajipan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.

Proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN hingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here