Mas Ermieyati calon Ketua Menteri Melaka PN

0
331

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika perikatan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.

“Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pimpinan utama PN,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Tanjung Bidara Mas Ermieyati

Jika PN berjaya mendirikan kerajaan Sabtu ini, Mas Ermieyati yang juga calon PN Dun Tanjung Bidara bakal melakar sejarah negara sebagai Ketua Menteri wanita pertama negara.

Pengumuman itu sekali gus menepati ramalan pelbagai pihak sebelum ini yang meramalkan Naib Ketua Srikandi Bersatu itu sebagai calon Ketua Menteri Melaka dari PN.

Pada PRN Melaka kali ini, bekas peguam syariah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu akan menentang calon ‘heavyweight’ dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

BN dan PH sebelum ini masing-masing menamakan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (BN) dan Adly Zahari (PH) sebagai calon Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu Muhyiddin berkata, PN sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina untuk memegang jawatan penting seperti ini.

“Ini adalah saya kira dalam sejarah negara seorang wanita profesional, banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri.

“Orang kata di Melaka ini di mana segala-galanya bermula. Kini terbuktilah Melaka bakal melakar sejarah negeri pertama yang kita harapkan nanti akan terpilih ketua menteri (wanita) dengan harapan PN yang mempertaruhkan 28 ADUN boleh mencapai kemenangan yang besar,” katanya.

Ditanya penerimaan mesyarakat setempat akan status Ketua Menteri wanita, Muhyiddin berharap, penduduk Melaka akan bersikap terbuka untuk menerima Mas Ermieyati sebagai calaon KM mereka.

“Pengundi Melaka cukup luas pengetahuan politik, mereka mahukan pemimpin tetapi mereka tidak menyebut lelaki atau perempuan. Mereka mahu pemimpin bersih, ada pengalaman, kelayakan yang memiliki rekod baik. Kesemua ini saya fikir ada pada Mas Ermieyati.

“Saya fikir Mas Ermieyati calon yang agak mudah diterima. Kalau dari segi budi bahasa, santun peramah kerana orang Melaka sudah kenal sebab sudah lama menjadi ahli politik, jadi timbalan menteri, ketua bahagian masjid tanah, ketua sri kandi. Saya harap mereka akan bersikap terbuka untuk menerima beliau sebagai calon KM. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here