Polis tahan Sub-Inspektor lepas tembakan dalam pub

0
321

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap seorang anggota polis berpangkat Sub-Inspektor susulan tindakannya melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki orang awam dalam sebuah pub di Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata susulan kejadian itu, anggota berusia 56 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar tindakan itu.

“Saya sahkan suspek seorang anggota polis dan dia sedang disiasat untuk siasatan lanjut sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan, berkata siasatan awal mendapati suspek melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol dan terkena pada seorang pelanggan lelaki berusia 56 tahun dalam pub berkenaan.

“Sejurus selepas kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian belakang badan dan lengan kiri dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek mempunyai kebenaran membawa senjata api dan pistol yang digunakan ketika kejadian itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan tiada sebarang provokasi di antara kedua-duanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here