[VIDEO] ‘Ikrar PN Untuk Melaka bukan angan-angan Mat Jenin’- Abdul Rahim

0
349

IKRAR Perikatan Nasional (PN) untuk Melaka yang dilancarkan semalam disifatkan sebagai satu rejunivasi baharu buat rakyat di negeri itu dengan kewujudan barisan pemimpin yang berintegriti dan beramanah daripada gabungan parti berkenaan.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang keenam, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, butiran-butiran ikrar yang disebut oleh pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat tepat untuk mengembalikan kecemerlangan Melaka.

“Ini bukan janji angan-angan Mat Jenin, melalui pengalaman saya selama 50 tahun dalam politik ini, memang ikrar itu adalah janji yang boleh dilaksanakan.

“Kerana semua sudah ada, infrastruktur sudah ada. Cuma perlu adanya pemimpin-pemimpin yang berintegriti dan berwibawa untuk menggerakkan ikrar yang sudah dijanjikan,” katanya ketika ditemu bual media selepas majlis pelancaran Ikrar PN Untuk Melaka di Glanmerie Shah Alam, semalam.

Beliau menegaskan rakyat Melaka pada saat ini sudah cukup kecewa apabila amanah dan mandat yang diberikan telah disalah gunakan oleh kerajaan negeri sebelum ini sehingga menyebabkan kacau bilau ekoran amalan-amalan mereka yang merosakkan kepentingan rakyat.

“Ini adalah masa yang sesuai dan peluang keemasan untuk rakyat Melaka berhijrah kepada satu kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan berwibawa.

“Saya percaya dengan rekod baik Tan Sri Muhyiddin, Inshaa Allah, apa yang telah diikrarkan tadi akan memberi manfaat besar kepada rakyat Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim sebagai anak jati Melaka berterima kasih kepada pengerusi PN atas ikrar yang telah diberikan kepada negeri bersejarah itu dan percaya rakyat Melaka boleh menerima PN dengan hati terbuka.

“Insha Allah, di bawah kepimpinan kerajaan yang baharu, bukan kerajaan yang korup, rosak dan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Kita hendak bangun dengan nilai-nilai baharu ini benar-benar memberi kesan kepada usaha untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat Melaka,” tambahnya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here