[VIDEO] Pukul warga emas guna topi keledar angkara berebut pam minyak, suspek ditahan polis

0
473

PIHAK Polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang terlibat dalam kes memukul seorang warga emas menggunakan topi keledar dalam satu kejadian di sebuah Stesen Minyak Shell, Jalan Duta menghala utara, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek berusia 38 tahun berkenaan mempunyai satu rekod jenayah dadah berbahaya pada tahun 2010 dan masih dikehendaki polis bersabir kes tersebut.

Bagaimanapun katanya, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek yang juga seorang pemandu peribadi setelah tangkapan dilakukan didapati negatif.

Amihizam turut memaklumkan pihaknya telah merampas pakaian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 serta sebuah helmet yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian.

“Berdasarkan keterangan suspek, kereta mangsa telah masuk ke petak pam minyak di mana suspek hendak mengisi minyak motosikalnya.

“Suspek yang berasa tidak puas hati kerana mangsa mendahului motosikalnya kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang berusia 64 tahun telah menerima rawatan hospital dan dibenarkan untuk pulang ke rumah hari ini.

“Keterangan lanjut mangsa akan dirakam apabila mangsa telah benar-benar pulih dan bersedia untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Menurut beliau lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata serta suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 16 November 2021.

“Saksi awam lain di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan,” katanya.

Terdahulu pada Sabtu, video kamera litar tertutup berdurasi 43 saat yang merakam kejadian itu tular di media sosial sehingga membangkitkan rasa marah netizen, memaparkan berlakunya pertelingkahan antara suspek dan mangsa, sebelum suspek bertindak memukul mangsa dengan topi keledar di bahagian kepala sehingga menyebabkan mangsa rebah di pam minyak berkenaan.

Setakat ini video berkenaan telah mencapai lebih 116 ribu jumlah tontonan di platform media sosial Facebook.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here