PERIKATAN Nasional (PN) berikrar menjadikan kelestarian alam sekitar di Negeri Melaka sebagai salah satu tunjang dan paksi utama parti itu.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mendepani cabaran perubahan iklim, PN akan memberikan fokus mereka terhadap peningkatan penggunaan teknologi hijau, penggunaan tanah secara optimum serta pengurusan sistem pepejal.
“Usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin juga akan dipergiat bagi melestari kawasan dan memperkaya sumber laut.
“Dengan ini, rakyat di negeri Melaka akan dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat,” katanya ketika berucap pada pelancaran Ikrar PN Untuk Melaka di Glanmerie Shah Alam, hari ini.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu menambah, melestarikan alam sekitar di negeri berkenaan penting dalam usaha untuk terus menjadikan Melaka sebagai pusat tarikan pelancong dari luar dan dalam negara.
Baca berita berkaitan: Perikatan Nasional ikrar bawa Melaka Bangkit Gemilang
Baca berita berkaitan: PN tubuh jawatankuasa bebas pastikan ikrar dilaksana gigih dan telus
Kelestarian alam sektar ini merupakan tunjang keempat daripada enam tunjang yang menjadi teras Ikrar PN Untuk Rakyat Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.
Dengan slogan Melaka Bangkit Gemilang, ikrar berkenaan manifestasi kesungguhan PN menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.