SOP kempen sememangnya ketat, tapi yang lebih penting ialah nyawa rakyat

0
285

PROSEDUR operasi standard (SOP) kepada calon yang berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sememangnya terlalu ketat tetapi apa yang lebih penting ialah nyawa rakyat, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu mengakui sekatan untuk aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal menyukarkan calon untuk menyantuni rakyat tetapi sekatan berkenaan adalah bertujuan untuk menjaga nyawa rakyat dan ahli politik wajib patuh kepada sekatan itu.

“Saya berkempen sudah dua hari dan memang rasa ketat…tak boleh ceramah, memang rasa tersekat. Bagus juga guna digital kerana paling tidak ia memberi keselamatan kepada rakyat.

“Kalau kita kempen rumah ke rumah, kita kena ingat ada anak kecil, orang tua… anak kecil ini tak vaksin… kita tak nak penularan Covid-19 berlaku,” katanya lapor Bernama semasa wawancara bersama Bicara Harakah dalam talian.

Beliau turut menyifatkan bahawa gelanggang perang PRN pada kali ini sebagai adil kepada semua pihak kerana semua calon menggunakan teknologi sebagai alat untuk mendidik dan mematangkan rakyat dan bukan menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Saya berpegang kepada satu iaitu apabila anda memberikan maklumat yang betul, orang akan memberi anda keputusan yang betul. Bermain di media sosial hari ini, adalah adil tapi yang lebih penting jadikan medium ini sebagai alat mendidik dan matangkan rakyat,” katanya.

Selain itu, calon PN DUN Serkam, Ahmad Bilal Rahudin dalam sidang media bersama Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata, meskipun DUN yang ditandinginya terletak di kawasan luar bandar, kempen mempromosikan diri dan perjuangan menerusi media sosial tidak menjejaskannya.

“Pengundi telah mengamalkan norma baharu sudah dua tahun dan saya rasa tidak ada masalah untuk pengundi tonton penjelasan dalam talian. Ia juga tidak menjadi masalah bagi saya berkempen dalam talian dan bagi PN, kita ada akar umbi yang cukup yang boleh bagi penerangan di lokaliti. Perkara ini perlu dititikberatkan untuk kesihatan awam,” katanya.

Pada 8 November yang lepas, SPR telah melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here