MPN cadang sempadan antarabangsa dibuka selewat-lewatnya 1 Januari 2022

0
257

MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mencadangkan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi mempercepatkan pemulihan khususnya sektor pelancongan.

“Mesyuarat juga mengambil maklum situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka.

“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.

Muhyiddin berkata, MPN meminta Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengumumkan dengan segera negara lain yang juga sudah dikenal pasti bagi tujuan kerjasama laluan khas atau koridor perjalanan. –

“Ini perlu diumumkan… mungkin seberapa segera (pembukaan sempadan negara) dilaksanakan.

“Bila sempadan sudah dibuka, bukan buka semuanya dan orang datang…“… (tetapi) dia pilih-pilih negara yang sudah berjaya (kawal COVID-19 dan tahap vaksinasi tinggi), maka mereka yang datang dari negara itu sahaja yang dibenarkan masuk ke negara kita,” katanya.

Muhyiddin berkata sektor pelancongan negara menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan kemasukan pelancong antarabangsa selain operator sektor ini memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka.

“Sektor pelancongan kita rugi hampir RM90 bilion kalau terus tutup. Ini hasil yang negara dapat daripada industri pelancongan melalui pelawat yang datang dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata meskipun negara seperti Jerman, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat masih berdepan masalah COVID-19 namun telah membenarkan pelawat dari Malaysia memasuki negara terbabit kerana sebahagian besar penduduk mereka sudah menerima vaksin dos kedua dan sebagainya.

“Jadi, kalau dibandingkan dengan negara seperti itu, kita punya tahap vaksinasi antara yang terbaik di dunia dan kalau begitu, faedah yang patut kita raih daripada tahap vaksinasi yang sudah begitu tinggi ialah membenarkan pelawat asing datang ke negara kita.

“Buka sempadan kita supaya faedah itu akan dapat dinikmati Malaysia tetapi (pada masa sama) sentiasa berjaga-jaga dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian calitan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata keputusan Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam bentuk koridor perjalanan dengan Indonesia seperti diumumkan Ismail Sabri semalam adalah satu keputusan yang baik dan terkedepan. 

Beliau berkata pemimpin kedua-dua negara sudah pasti mengambil kira perkembangan termasuk usaha mengawal penularan COVID-19 di negara masing-masing.

Terdahulu, mesyuarat dimulakan dengan sesi taklimat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkembangan terkini indikator berkaitan COVID-19.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai khususnya dari segi trend penurunan kes positif harian, kes kematian, kemasukan kes COVID-19 kategori tiga hingga lima ke hospital dan kadar vaksinasi,” katanya.

Mesyuarat turut diberi taklimat mengenai kedudukan prestasi sektor dan subsektor ekonomi oleh Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang menyatakan indikator menunjukkan prestasi ekonomi pada suku kedua tahun ini masih lagi di bawah paras prapandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali pembuatan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa prospek ekonomi negara bagi suku ketiga dan keempat tahun ini menunjukkan bahawa keadaan ekonomi masih mencabar,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here