SPR keluarkan 7,601 kertas undi pos PRN Melaka

0
371

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 7,601 kertas undi pos untuk pengundi secara pos seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya (PRN) Negeri Melaka Ke-15.

Agensi tersebut dalam kenyataannya pada Rabu berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 9 November dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Kesemua 7,601 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 6,871 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), 511 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 113 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Kenyataan itu juga memaklumkan, proses pengeluaran kertas undi pos berkenaan dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

Agensi berkenaan juga mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 20 November.

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here