16,229 PATI ditahan ceroboh sempadan negara

0
458

OPERASI Benteng berjaya menahan 16,229 pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala 3,666 lagi diusir ketika cubaan membolosi sempadan darat dan perairan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata angka itu berdasarkan pelaksanaan Operasi Benteng selama 18 bulan, iaitu sehingga 31 Oktober lalu.

Katanya, operasi itu juga berjaya mengekang penyeludupan di sempadan dengan anggaran nilai rampasan RM668.47 juta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, ini membabitkan rampasan barang terlarang dan kenderaan.

Ikmal Hisham berkata, operasi itu membabitkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan agensi lain.

“Objektif utama pelaksanaan operasi ini bertujuan menghalang kemasukan PATI, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Pada masa sama, inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi kawalan keselamatan persempadanan negara sama ada sempadan darat atau perairan negara.

“Bagi memastikan Operasi Benteng terus berkesan, kementerian akan memperkukuh untuk menambah baik keupayaan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai keberkesanan operasi berkenaan pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan, Ikmal Hisham berkata, tiga perkara membabitkan risikan, pemantauan dan pengawasan akan dipertingkat dalam pelaksanaan Operasi Benteng, bagi menjejaki jenayah rentas negara.

“Kita menyediakan peruntukan Operasi Benteng secara prinsipnya dan akan fokus kepada peningkatan keupayaan pasukan keselamatan melaksanakan tugas di sempadan, bagi memastikannya tidak mudah dibolosi.

“Ini juga selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pembentangan RMK-12 yang menyentuh fokus keempat, iaitu memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here