PRN Melaka: 4 kes bawa penyokong – polis akan panggil penganjur

0
425

POLIS akan memanggil penganjur yang membawa kumpulan penyokong parti ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, untuk diambil keterangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu dipercayai penganjur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Setakat ini polis menerima empat laporan berhubung kejadian itu membabitkan pusat penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Tanjung Bidara, Kota Laksamana dan Kuala Linggi.

“Semua individu dipercayai penganjur ini sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan, mungkin hari ini atau selewat-lewatnya esok bagi melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan perlu disiapkan dalam tempoh tiga hari sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya hanya menerima dua permohonan permit untuk menjalankan kempen pilihan raya iaitu daripada parti DAP setakat ini.

“Setakat yang kita berbincang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), permit hanya dikeluarkan kepada permohonan mengadakan kempen melalui pembesar suara.

“Kepada parti politik yang ingin memohon permit berkempen melalui pembesar suara, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Daerah. Setakat ini hanya dua permohonan diterima iaitu daripada DAP,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here