[VIDEO] Lapan maut di konsert Travis Scott

0
375

LAPAN maut selepas menghadiri konsert penyanyi rap terkenal, Travis Scott, pada sebuah acara festival muzik Astroworld Fest yang berlangsung di Houston, Texas, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketua Jabatan Bomba Houston, Sam Pena dalam sidang media berkata, insiden itu berlaku selepas lebih 50,000 pengunjung konsert yang hadir berasak-asak menyebabkan kecederaan.

“Pada sekitar jam 9 malam, pengunjung mula berasak-asak di depan pentas. Ia mencetuskan situasi panik sebelum berlaku kecederaan.

“Ramai terjatuh dan tidak sedarkan diri menyebabkan keadaan bertambah lebih panik,” katanya.

Pena turut memaklumkan pada awalnya 17 orang dikejarkan ke hospital berdekatan di mana 11 daripadanya mengalami jantung terhenti mengejut. Manakala, 300 lagi dirawat di khemah perubatan di lokasi festival.

Penolong Ketua Eksekutif Polis Houston, Larry Satterwhite pula menambah, kekacauan itu berlaku serentak sewaktu insiden.

“Secara tiba-tiba, ramai orang tumbang, alami kegagalan jantung atau sakit lain. Kami serta-merta lakukan bantuan pernafasan dan selamatkan mereka,” katanya. 

Susulan tragedi itu, penganjurnya LiveNation kemudian mengeluarkan kenyataan membatalkan persembahan seterusnya yang dijadualkan selepas konsert Scott.

“Kami dengan sepenuh hati menzahirkan simpati kepada keluarga (pengunjung) Astroworld Fest malam ini (semalam) terutama buat yang kehilangan orang kesayangan.

“Kami ingin menyokong pihak berwajib seboleh yang mungkin. Justeru, festival itu tidak akan dilangsungkan pada Sabtu (Ahad waktu Malaysia),” kata LiveNation dalam satu kenyataan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here