[VIDEO] Dhanesh Basil terkejut dipilih lawan Idris Haron – tetapi yakin kemampuan diri

0
393

KEPUTUSAN Perikatan Nasional (PN) menyenaraikan calon muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai satu titik permulaan untuk memberi peluang golongan belia untuk bergiat aktif di dalam arena politik negara.

Calon DUN Asahan, Dhanesh Basil menegaskan, peluang yang diberikan ini tidak akan disia-siakan untuk membuktikan golongan belia juga bersedia mengharungi cabaran membentuk landskap semasa politik negara.

“Ini adalah satu peluang yang diberikan kepada saya sebagai belia untuk berada di dalam persada politik.

“Pada masa yang sama, arena perjuangan saya di dalam belia (Majlis Belia India Malaysia) selama 10 tahun adalah antara intipati yang boleh saya berikan kepada anak-anak dan juga seluruh rakyat Melaka,” Katanya ketika ditemui SatuBerita selepas pengumuman calon Perikatan Nasional di Hotel Glanmarie, Shah Alam hari ini.

Dhanesh yang juga Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC) berkata, PN mengambil pendekatan bijak apabila memberikan peluang kepada ramai muka baharu yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai pemimpin masa depan.

“Kalau kita lihat, boleh dikatakan 90 sehingga 95 peratus adalah wajah baharu dan ini akan menjadi satu platform kepada anak-anak muda dan juga bakat-bakat baharu diberikan satu peluang untuk berkhidmat di dalam politik.

“Selain itu, PN juga mempunyai ukhuwah dan hubungan yang baik dengan komponen-komponen parti gabungan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, dirinya mengakui terkejut setelah dinamakan sebagai calon DUN Asahan di mana dirinya perlu menentang bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Ser Idris Haron, namun tetap meletakkan fokus kepada apa yang boleh ditawarkan olehnya untuk DUN berkenaan.

“Saya agak terkejut kerana Idris Haron sememangnya mempunyai pengalaman yang lebih besar daripada saya. Namun saya lebih melihat kepada apa yang boleh saya berikan kepada anak-anak dan seluruh rakyat Asahan.

“Ini adalah komitmen saya untuk memberikan pembaharuan di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka,” katanya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here