MENAWARKAN khidmat pelacuran dan pelayan pelanggan (GRO) untuk langganan harga sekitar RM190 hingga RM240, mengakibatkan 34 warga asing ditahan dalam operasi gegar di beberapa premis di kawasan Puchong, Kuchai Lama dan ibu kota, di sini pada Isnin lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata operasi pertama dijalankan ke atas sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing.
Beliau berkata hasil risikan mendapati premis berkenaan dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan kerana harga ditawarkan agak tinggi.
“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara dalam talian terlebih dahulu melalui applikasi Wechat dan Telegram.
“Hasil pemeriksaan di premis itu, pegawai operasi menahan 17 warga asing terdiri daripada tujuh wanita warga Thailand, empat wanita warga Indonesia dan tiga wanita masing-masing warga Myanmar, Laos dan Vietnam disyaki melakukan akitiviti pelacuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, turut ditahan tiga lelaki warga Myanmar yang juga pekerja dan penjaga premis.
Khairul Dzaimee berkata operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong, di sini, yang dikawal oleh ‘tonto’ sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan itu bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan daripada pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, strategi tonto ini berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan. Semasa serbuan dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing ini.
“Kesemua tindakan mereka gagal berikutan premis telah dikepung dan jalan-jalan keluar telah dikenal pasti lebih awal oleh pegawai serbuan,” katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis ini, imigresen menahan 16 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warga India yang juga pekerja di premis itu.
Khairul Dzaimee berkata siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, imigresen terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang terutamanya membabitkan warga asing.
Khairul Dzaimee berkata tindakan ini penting bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan negara daripada kesan pandemik COVID-19 melalui Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.