[VIDEO] ‘Langsung tak jumpa minta maaf, namun saya maafkan mereka’- Bapa Zulfarhan

0
269

BAPA kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang terbunuh setelah dicederakan oleh rakan sepengajiannya empat tahun lalu meluahkan rasa terkilan apabila keluarga tertuduh mahupun tertuduh sendiri tidak datang berjumpa dengannya atau isteri untuk memohon maaf.

Zulkarnain Idros, 57, berkata, hanya satu keluarga daripada 18 tertuduh datang berjumpa dengannya untuk meminta maaf ekoran kejadian berkenaan.

“Keluarga pihak tertuduh tidak datang minta maaf pun dengan saya, kecuali satu keluarga sahaja yang datang jumpa saya minta maaf atas kesalahan anaknya. Yang lain (tiada) seolah-olah anak saya pula yang bersalah.

“Saya harap janganlah begitu. Kita sebagai ibu bapa jangan putuskan hubungan silaturahim kita,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah hukuman dibacakan kepada semua tertuduh hari ini.

Ketika ditanya samada dirinya maafkan kesemua tertuduh yang terlibat dalam kes yang menyebabkan kematian anaknya, Zulkarnain memaklumkan sudah memaafkan mereka meskipun berat untuk melakukan perkara itu.

“Berat untuk saya cakap. Alhamdulillah, secara jujurnya saya maafkan semua tertuduh. Sekurang-kurangnya kalau saya maafkan, mungkin ada sedikit kelegaan di hati,” ujarnya.

Sementara itu, Ibu Zulfarhan, Hawa Osman, 58, mengingatkan kesemua tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan mereka setelah menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka.

“Kepada tertuduh, saya berharap mereka diberi peluang oleh hakim kerana menurut peguam bela mereka, ini adalah kesalahan kali pertama mereka. Jangan ada lagi kesalahan yang kedua atau yang ketiga selepas menjalani hukuman penjara, itu yang saya minta,” katanya.

Terdahulu pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh ke atas Zulfahran empat tahun lalu.

Dalam pada itu, keenam-enam mereka bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here