SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan teman wanitanya yang berusia 15 tahun, di dua lokasi berlainan di Jelawat, Bachok, pada Mei lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan semak dan sebuah rumah di Jelawat, Bachok dari 2 Mei sehingga minggu keempat Mei lalu antara jam 12 tengahari dan 2 pagi.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fariz memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah keji, selain tertuduh mengenali mangsa.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.