[VIDEO] Pemandu brek mengejut, halang laluan ditahan

0
416

POLIS berjaya mengesan dan menahan pemandu kenderaan yang melakukan provokasi di atas jalan raya dengan menghalang laluan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Video kejadian berkenaan dimuatnaik oleh seorang pengguna Twitter @nanmanjoi8716 sebelum tular di media sosial.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh, pemandu itu berjaya dikesan dan tangkapan telah dibuat pada 31 Oktober 2021 pukul 5.50 petang.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kejadian telah berlaku pada Sabtu pada pukul 11.30 pagi di Jalan Jinjang Setia yang melibatkan kenderaan Toyota Corolla Altis berwarna hitam dengan sebuah kenderaan yang dipercayai Myvi juga berwarna hitam.

“Kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Myvi telah bergerak secara perlahan di hadapan pemandu Toyota Corolla Altis di lorong paling kanan.

Melihat pada keadaan tersebut, pemandu Toyota Corolla Altis telah mengubah laluan ke lorong tengah untuk memotong kenderaan Myvi, dan dalam masa yang sama pemandu Myvi juga mengubah ke lorong tengah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, tindakan pemandu Myvi yang mengubah laluan ke lorong yang sama membuatkan pemandu Toyota Corolla Altis berang dan memotong serta membrek secara mengejut di hadapan kenderaan itu secara sengaja.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya.

Sementara itu, JSPT Kuala Lumpur meminta agar pemandu kenderaan Myvi hitam atau pemilik akaun Twitter @nanmanjoi8715 tampil ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here