[VIDEO] Macam dalam filem… ‘Joker’ bakar kereta api, tikam orang ramai

0
319

SEORANG lelaki yang memakai kostum karakter ‘Joker’ di dalam filem Batman: The Dark Knight bertindak menyerang orang ramai menggunakan pisau dapur dan membakar gerabak kereta api dalam satu kejadian di Tokyo, Jepun pada petang Ahad.

Kyodo News melaporkan pihak berkuasa tempatan menahan suspek yang dikenali sebagai Kyota Hattori di tempat kejadian atas kesalahan cubaan membunuh.

Menurut pihak berkuasa, Hattori mengaku melakukan serangan ke atas orang ramai dengan alasan ingin membunuh orang supaya dia boleh dijatuhkan hukuman mati.

Jabatan Bomba Tokyo berkata, kejadian yang berlaku di laluan ekspres Keio menuju ke Shinjuku itu telah menyebabkan 17 orang awam tercedera ketika orang ramai sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar untuk meraikan perayaan Halloween.

Namun tambah mereka, tidak semua daripada mangsa ditikam dan kebanyakan kecederan tidak serius.

Media tempatan melaporkan saksi kejadian menyatakan Hattori telah menikam 10 orang penumpang secara rambang sebelum bertindak menuang cecair yang dipercayai minyak di sekeliling gerabak dan menyalakan api serta melempar asid hidroklorik.

Seorang warga emas berusia lingkungan 70 tahun turut dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri selepas ditikam oleh ‘Joker’ berkenaan.

Dalam beberapa video dan gambar yang dimuat naik pada platform Twitter, kelihatan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri apabila serangan berlaku dan kereta api mula terbakar.

Setelah melakukan serangan tersebut, suspek ‘Joker’ itu dirakam sedang duduk sambil menghisap rokok dengan tenang seperti tiada apa-apa yang terjadi sebelum ditahan oleh pihak berkuasa.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here