1.3 juta pelajar di empat negeri mula bersekolah hari ini

0
293

LEBIH 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, empat negeri terbabit adalah Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.

“Kemasukan yang berperingkat ini membolehkan kita mengawal dan memantau keadaan di sekolah bagi memastikan operasi sekolah berjalan lancar dan teratur,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

Katanya, selain daripada membuat pemantauan di sekolah, pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama semua guru, termasuk guru prasekolah serta ibu bapa.

Menurutnya, sesi libat urus itu membabitkan perkara berkaitan dengan pengoperasian dan menumpukan konsep Sekolahku Sejahtera, yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kita akan berbincang dengan ibu bapa bagaimana cara terbaik untuk memastikan konsep Sekolahku Sejahtera itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Konsep berkenaan adalah sebagai usaha untuk menerapkan nilai penting dalam kehidupan anak-anak dan sudah pasti ia bukanlah satu mata pelajaran baharu, sebaliknya kaedah menerapkan nilai semula jadi dalam kehidupan yang akan menjadi satu norma buat generasi baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPM sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun padang secara mengejut memantau tahap pengudaraan optimum di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Setakat ini pihaknya melihat ada peningkatan dalam usaha untuk mengoptimumkan pengudaraan di sekolah meskipun pada peringkat awal ramai dalam kalangan pentadbir sekolah kurang memahami mengenai kaedah serta pendekatan yang boleh digunakan bagi melaksanakan usaha berkenaan.

“Namun sekarang, kita melihat guru serta pihak sekolah secara keseluruhannya mula memahami sistem pengudaraan ini satu komponen penting dan mereka saling berusaha untuk memastikan pengudaraan dalam bilik darjah serta pejabat berada pada tahap yang optimum.

“Saya harap Jabatan Pendidikan negeri serta PPD dapat turun secara mengejut pada bila-bila masa untuk memastikan segala tata cara yang ditetapkan dalam garis panduan yang disediakan itu dapat dipatuhi dengan baik, khususnya aspek pengudaraan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here