[VIDEO] Mr. Badang Perkasa gamatkan Festival Aku Budak Kluang Day 2021

0
923

AKSI jejaka-jejaka bertubuh sasa mencuri tumpuan penduduk sekitar bandar Kluang, Johor semalam yang menghadiri festival Aku Budak Kluang Day 2021 (ABK Day 2021).

Lebih menarik perhatian apabila peserta-peserta pertandingan Mr. Badang Perkasa itu ‘mengecat’ badan mereka menggunakan ‘tanning paint’ sekaligus menampakkan lagi sosok otot mereka yang sasa.

Di bawah terik matahari di tengah Bandar Kluang, mereka memperagakan sosok otot badan yang dibina bersama-sama komitmen yang tinggi bagi merebut gelaran juara berserta hadiah wang tunai sebanyak RM500 ringgit.

Apa yang menarik, peserta-peserta pertandingan ini tampil sopan apabila tidak perlu memakai seluar pendek yang mencolok mata dengan masing-masing berseluar jeans panjang tidak seperti pertandingan bina badan di peringkat antarabangsa.

Menurut salah seorang pengendali pertandingan Mr. Badang Perkasa, Festival ABK Day 2021, Mohd Saufi Awis, 34, pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Powerbar Fitness Kluang itu disertai seramai 20 orang yang mewakili pelbagai gim seluruh negeri Johor.

“Pertandingan ini ada pemenang seramai sepuluh orang. Hadiah wang tunai diberikan kepada pemenang tempat pertama hingga tempat kelima. Hadiah saguhati akan diberikan kepada pemenang tempat pertama sehingga tempat ke sepuluh,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, tempat kedua menerima wang tunai sebanyak RM300, tempat ketiga sebanyak RM150, tempat keempat sebanyak RM100 dan tempat kelima menerima RM50.

Menurut Saufi, tempat pertama disandang oleh Johari yang mewakili Conquer Gym dari Batu Pahat Johor, tempat kedua disandang oleh Sapdi mewakili Powerbar Fitness dari Kluang, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Fahmi Masri yang juga mewakili Conquer Gym.

Sementara itu Austin Chan dari Focus Fitness, Masai, Johor menyandang tempat keempat dan tempat kelima disandang oleh Mohamad Helmey mewakili Fantastic Fitness dari Johor Bahru.

Saufi berkata, barisan juri yang mengadili pertandingan tersebut menilai ketebalan dan ketajaman otot setiap peserta untuk mengenal pasti pemenang kepada pertandingan berkenaan.

Festival ABK Day 2021 itu merupakan anjuran JABATAN Belia dan Sukan Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor bersempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2021 di Ngepot Kabin, Kluang, semalam.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor hari ini, ABK2021 itu juga adalah bersempena Program Sesi Libat Urus Lawatan Menteri Besar Johor bersama Kepimpinan Daerah Kluang dan juga bersempena Belanjawan Johor 2022.

Program Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan turut dilaksanakan pada hari yang sama secara serentak di seluruh negara dan disiarkan secara maya melalui persidangan video.

Festival yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 7 petang itu dihadiri Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan kepimpinan Majlis Belia Negeri Johor dan Majlis Belia Daerah Kluang.

Sebagai rekod, Aku Budak Kluang dan Ngepot Kabin diasaskan oleh pelawak terkenal, Shahrol Shiro, atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi yang juga merupakan Ikon Belia Negeri Johor.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here