BKM: Ibu, bapa tunggal 3 anak bakal dapat RM2,500

0
495

IBU atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan tiga atau lebih anak bakal mendapat manfaat maksimum daripada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM2,500 pada tahun hadapan. 

Selain itu, seramai 4.8 juta daripada 9.6 juta penerima BKM berjumlah RM8.2 bilion yang bakal dapat manfaat, terdiri daripada kategori bujang.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, BKM sudah ditambahbaik supaya kumpulan yang benar-benar terkesan diberi lebih tumpuan.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan cadangan yang diterima daripada rakyat melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat, pembaharuan itu termasuk bayaran sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan. 

“Pemberian bantuan ini adalah peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

“Bagi ibu tunggal dalam menyara anak-anaknya; selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap, Kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan hingga RM5,000,” kata kenyataan itu. 

Selain itu, Kementerian Kewangan berkata, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. 

Oleh itu, ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500. 

“Secara keseluruhan, BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion, meningkat berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion bawah BPR pada 2021,” kata kenyataan itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here