BKM: Warga bujang pun layak, kata Tengku Zafrul

0
365

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan warga bujang tidak layak menerima bantuan tunai terus Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di bawah Bajet 2022.

Menurutnya, terdapat pelbagai bantuan untuk semua lapisan masyarakat termasuk untuk warga bujang di bawah BKM.

“Ramai yang bertanya di media sosial, Bantuan Keluarga Malaysia ini tak ada ke untuk bujang?

“Ada. Ucapan bajet tu sebenarnya cuma sebahagian dari pelbagai bantuan yang disediakan untuk #KeluargaMalaysia.

“Kalau nak kita senaraikan semua, sampai malam pun mungkin tak habis ucapan,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Pada hantaran di media sosial itu, Menteri Kewangan itu menyertakan perincian warga emas bujang atau tiada pasangan yang berpendapatan kurang RM5,000 layak menerima bantuan RM600 manakala warga bujang berpendapatan kurang RM2,000 akan mendapat RM350.

Semalam ketika membentangkan Bajet 2022, Zafrul mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan BKM dengan beberapa penambahbaikan daripada bantuan tunai sebelum ini.

Melalui inisiatif ini, isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dan berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan mendapat bantuan tunai RM2,000 sekali sahaja.

Katanya, pemberian di bawah BKM merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

Kerajaan juga akan memberi RM500 lagi kepada ibu bapa tunggal berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan, bermakna ibu bapa tunggal yang mempunyai tiga anak atau lebih, layak menerima bantuan tunai maksimum RM2,500 daripada BKM.

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan 8.2 bilion ringgit iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan 7 bilion ringgit di bawah BPR,” jelasnya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Tengku Zafrul menambah semalam, syarat kelayakan untuk bantuan yang disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu kini berdasarkan garis kemiskinan makanan 2019 yang ditetapkan pada RM1,169.

“Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here