Bajet 2022 penting bagi pemulihan Malaysia – Muhyiddin

0
292

BAJET 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bajet 2022 yang bernilai RM332.1 bilion itu menunjukkan semangat kebersamaan kerajaan dalam Keluarga Malaysia dengan menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, baik individu mahupun perniagaan.

“Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhyiddin, beliau yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan. 

“Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi. 

Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.

Menurut beliau, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik. 

Justeru Muhyiddin berharap, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk dari segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran. 

Dalam pada itu beliau berkata, peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar. 

“Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan dengan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here