AIM turunkan caj pengurusan untuk empat skim pembiayaan

0
362

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menurunkan kadar caj pengurusan sebanyak dua peratus bagi empat skim pembiayaan yang ditawarkan.

Menurut AIM dalam satu kenyataan, penurunan caj pengurusan itu membabitkan Skim Pembiayaan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari dan i-Penyayang.

Pengumuman penurunan kadar caj yang dahulunya sebanyak 10 peratus kepada lapan peratus itu dilakukan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

“Noh mengumumkan perkara itu ketika merasmikan program Karnival Usahawan dan Koperasi di Padang Astaka, Tanjong Karang.

“Penurunan caj pengurusan sebanyak dua peratus itu akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula tahun hadapan hingga tahun 2023.

“Ia membabitkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM970.39 juta dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 380,000 Sahabat seluruh negara.

“Keempat-empat skim pinjaman ini mempunyai had pinjaman sehingga RM20,000,” katanya seperti dilaporkan UtusanTV, hari ini.

Mengulas lanjut, AIM memaklumkan, Noh turut mengumumkan pemberian rebat secara prorata kepada semua Sahabat yang melunaskan pinjaman lebih awal.

AIM memberitahu, rebat prorata itu diberikan sehingga 50 peratus kadar caj pengurusan sekali gus bermakna lebih awal Sahabat melunaskan pinjaman, lebih tinggi diskaun yang akan diberikan.

Pada masa sama, Noh turut mengumumkan bahawa AIM membuka tawaran pinjaman kepada individu dalam kategori pertengahan (B50) dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM5,880 ke bawah.

“Atas rasa kebersamaan dalam usaha memulihkan kembali ekonomi Sahabat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, AIM juga tidak melupakan golongan pertengahan.

“Ketiga-tiga langkah yang dibuat AIM ini merupakan sebahagian daripada keprihatinan dalam menyambut serta menyokong konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia diharapkan dapat membantu menjana ekonomi Sahabat dan peniaga kecil seterusnya memulihkan negara daripada masalah serta kesan akibat pandemik COVID-19,” jelas AIM. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here