‘Rauf yang mahu jadi KM, malah dia pernah halang saya jadi KM’ – Idris

0
311

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menafikan bahawa beliau menjatuhkan kerajaan negeri kerana mahu memegang semula jawatan Ketua Menteri (KM).

Sebaliknya bekas ADUN Sungai Udang itu berkata, Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh yang sebenarnya beria-ia mahukan jawatan tersebut.

“Saya tidak menjatuhkan kerajaan negeri untuk menjadi KM semula. Saya hanya mahu menghalang negeri daripada ditadbir dengan teruk,” kata dalam wawancara bersama FMT.

Beliau mengulas tuduhan Rauf bahawa beliau menjatuhkan kerajaan UMNO Melaka kerana untuk menjadi KM semula.

Bekas KM Melaka ke-10 itu menjelaskan menjadi perkara biasa apabila sesuatu kerajaan tumbang maka ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi KM atau Menteri Besar.

“Mengikut konvensyen, Ketua Pembangkang akan menjadi KM sekiranya berlaku pertukaran kerajaan. Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, saya adalah Ketua Pembangkang.

“Jadi, sebagai Ketua Pembangkang, saya sepatutnya menjadi KM (semasa PH tumbang),” katanya.

Bagaimanapun, Idris berkata, Rauf telah menghalang pelantikannya sebagai Ketua Menteri dan turut mengetepikan pemimpin kanan UMNO lain di negeri itu.

Beliau mendakwa Rauf menyokong ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk jawatan itu kerana ‘Sulaiman akan mendengar kata Rauf’.

“Rauf sebenarnya adalah KM de facto,” kata Idris.

Sebelum ini, Idris bersama tiga lagi ADUN – Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu Teluk Mas), menarik sokongan terhadap Sulaiman dan kerajaan UMNO.

Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN pada 4 Oktober lalu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here