PAS buat keputusan sendiri, tidak ikut syarat parti lain

0
418

PAS akan membuat keputusan sendiri berkaitan penglibatan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa perlu mengikut syarat daripada mana-mana parti lain.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pusat akan membincangkan isu tersebut serta membuat keputusan sendiri.

“PAS menerusi Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pusat akan membuat keputusan sendiri berdasarkan pertimbangan maslahat (kebaikan) dan mafsadah (keburukan), untung dan rugi pada kesatuan serta perpaduan umat dan bagi mengekang kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“PAS tidak terikat dengan syarat atau keputusan mana-mana parti lain,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi yang mengigatkan PAS untuk kekal menggunakan loga parti sendiri pada PRN Melaka selari dengan keputusan yang dibuat kedua-dua parti itu di bawah persefahaman Muafakat Nasional.

Khairuddin menegaskan PAS tidak terikat dengan keputusan parti lain tetapi tetap dengan komitmen mahu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Komitmen PAS ialah menyatupadukan kuasa politik Melayu Islam dan menghalang kemenangan PH (Pakatan Harapan) dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here