Kes pertama subvarian Delta AY.4.2 dicatat di Singapura

0
413

SINGAPURA mengenal pasti kes pertama Covid-19 subvarian Delta AY.4.2 di Singapura, dikenal pasti menerusi kes import Selasa lalu.

Kementerian Kesihatan (MOH) semalam mengesahkan kes pertama tersebut namun memaklumkan, tiada bukti menunjukkan berlaku penularan coronavirus itu dalam komuniti daripada kes terbabit setakat ini.

Subvarian dikenali sebagai varian Delta Plus itu adalah mutasi daripada varian Delta Covid-19 iaitu gabungan varian AY.4 Delta dan pepaku mutasi S:Y145H.

“Ketika kesannya masih dikaji, AY.4.2 kini dijangka menyerupai subvarian Delta lain dari segi kebolehjangkitan dan tahap serius penyakit,” katanya.

Subvarian itu diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), tetapi bukan varian membimbangkan (VOC).

BBC, yang memetik pakar, melaporkan tiada petunjuk subvarian AY.4.2 lebih mudah berjangkit atau berbahaya berbanding Delta, bagaimanapun kajian sedang dijalankan.

Lebih enam peratus daripada semua kes subvarian AY.4.2 setakat ini sudah dilaporkan di Britain.

Maklumat Inisiatif Global Perkongsian Data Influenza (GISAID) menunjukkan kes subvarian sama dilaporkan di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan sebahagian Eropah Barat.

Newsweek melaporkan Australia dan Jepun hanya menemui satu kes pada 19 Oktober lalu.

Profesor Biologi Sistem Pengiraan Universiti Kolej London, Francois Balloux, berkata subvarian AY.4.2 masih belum disahkan menjadi punca lonjakan dalam bilangan kes di Britain, baru-baru ini.

“Memandangkan AY.4.2 masih berada pada kekerapan agak rendah, peningkatan 10 peratus dalam kebolehjangkitannya mampu menyebabkan hanya sebilangan kecil pertambahan kes.

“Ini bukanlah keadaan setanding dengan kemunculan Alpha dan Delta yang jauh lebih mudah berjangkit (50 peratus atau lebih) berbanding mana-mana varian dalam putaran ketika itu,” tambahnya. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here