Bayaran murah, Jurey saran perbaiki ekosistem elak penghinaan kepada pelakon

0
230

Oleh SYED AHMAD SYED MAHDI

ISU yang dibangkitkan pelakon veteran, Fauziah Nawi mengenai bayaran murah yang diterima segelintir pelakon nampaknya menarik perhatian Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosly.

Beliau berkata, apa yang dibangkitkan oleh Fauziah bukanlah satu hal baharu sebaliknya sudah dihadapi oleh kebanyakan pihak sejak sekian lama.

“Kita tidak ada mekanisma cara pembayaran sejak dahulu. Sudahnya hal begini akan tetap berlaku saban tahun melibatkan banyak pihak.

“Dalam hal begini memang tidak ada keadilan tetapi ia boleh diselesaikan melalui perbincangan dan persetujuan bersama antara semua. Kalau perkara ini tidak boleh dicapai, sampai bila-bila pun perkara ini akan timbul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Jurey, kebanyakan syarikat produksi sudah ada bajet tertentu untuk memulakan penggambaran berdasarkan bayaran yang diterima daripada stesen TV.

Masalah bajet biasanya akan timbul apabila stesen mahukan pelakon gred A dan harga yang diletakkan pula tinggi. Sudahnya bajet yang tinggal semakin susut dan pelakon lain terpaksa menerima bayaran yang tidak sepatutnya mereka terima.

“Ini masalah yang sering dihadapi oleh pihak produksi apabila bajet semakin susut. Ada stesen TV mahukan pelakon A list dan mereka pula tidak mahu menurunkan harga mengikut bajet yang ditetapkan.

“Produksi terpaksa akur dan akhirnya pelakon pembantu dan pelakon tambahan yang jadi mangsa. Ini yang kita tidak dapat selesaikan sejak dahulu selagi tidak mewujudkan kaedah dan mekanisma yang betul kepada semua pihak,” jelasnya lagi.

Pun begitu, Jurey mendedahkan masalah ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersedia untuk mengubah ekosistem dalam bidang penerbitan drama atau filem.

Sekiranya perubahan ekosistem dapat dilaksanakan dan mendapat persetujuan semua pihak, tidak ada individu akan ditindas melibatkan soal bayaran.

“Perkara ini akan terus berlaku sekiranya ada pihak terus menerima tawaran tersebut meskipun ditindas. Kalau untuk pelakon veteran, jangan sesekali menerima bayaran yang rendah.

“Mereka sudah berpengalaman luas dan tak sepatutnya diperlakukan begitu. Adalah menjadi satu penghinaan kepada artis lama sekiranya menerima tawaran tak masuk akal.

“Untuk orang muda pula, timbang-tara dahulu tawaran dan rujuk hal tersebut kepada orang yang sudah berpengalaman,” tambah Jurey lagi.

Terdahulu, Fauziah Nawi memuat naik status mengenai sebuah produksi menawarkan jumlah bayaran RM5,000 untuk 20 episod. Jumlah tersebut cukup rendah dam dilihat menganiaya segelintir pelakon tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here