Bajet 2022: Penjawat awam dapat RM700, pesara terima RM350

0
290

PENJAWAT awam Gred 56 ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700, manakala pesara kerajaan pula layak menerima RM350.

Bantuan itu akan disalurkan kepada 1.3 juta penjawat awam membabitkan peruntukkan sebanyak RM1.3 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan khas itu adalah langkah kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Mereka berperanan besar membantu kerajaan terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

“(kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Katanya, perkara itu adalah antara cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” daripada fokus ketiga Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Selain itu, Zafrul berkata gantian cuti rehat juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari keapda 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Bahkan, kerajaan bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam termasuk memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara.

Kerajaan juga akan meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Bayaran insentif sebanyak RM200 akan diberikan kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental – SB .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here