Bajet 2022: Lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion disediakan

0
440

KERAJAAN menyediakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dengan jumlah keseluruhan RM530 bilion yang tidak termasuk peruntukan Belanjawan 2021.

Menurut Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pakej-pakej ini dijangka dapat memacukan pertumbuhan ekonomi yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020 dan kini telah berkembang 7.1 peratus setakat separuh pertama 2021.

Tengku Zafrul menjelaskan, walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran PKP ketiga, keadaan dijangka pulih pada suku keempat apabila hampir semua negeri beralih ke fasa empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita dijangka berkembang antara 3 hingga 4 peratus bagi tahun ini, Insya-Allah.

“Pada tahun depan, ekonomi negara diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai,” kata beliau ketika membentangkan bajet 2022 di Parlimen pada Jumaat.

Bagaimana pun Tengku Zafrul mengingatkan, prestasi ini turut bergantung kepada faktor-faktor lain, antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.

Beliau selanjutnya menjelaskan, Bajet ini terhasil dari siri turun padang dan jelajah negeri; perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus selain mengkaji lebih 1,100 memorandum dan hampir 50 ribu cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022.

Bajet 2022 berkenaan kata beliau, dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama Ahli-ahli Parlimen Pembangkang merentasi doktrin politik daripada Kerajaan dan Pembangkang.

“Atas iltizam tersebut, Bajet tahun 2022 akan bertemakan, “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”. Bajet kali ini mendokong Tiga Paksi Utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

“Matlamat Bajet 2022 kekal dengan tiga Fokus Induk iaitu: Pertama: Rakyat Yang Sejahtera; Kedua: Perniagaan Yang Berdaya Tahan; dan Ketiga: Ekonomi Yang Makmur dan Mampan,” kata beliau.

Kementeriannya dalam meningkatkan ketelusan penyediaan bajet tahunan juga menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 dan empat Kertas Konsultasi Awam merangkumi topik berkenaan penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai dan tanggungjawab fiskal. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here