[VIDEO] Bajet 2022: Kerajaan sediakan 600,000 peluang pekerjaan

0
382

KERAJAAN akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (Jamin Kerja) yang melibatkan peruntukan sejumlah RM4.8 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian Jamin Kerja dengan sasaran 300,000 orang membabitkan peruntukan RM2 bilion.

“Di bawah inisiatif ini, majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan banduan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada gaji RM1,200 ke atas.

Insentif itu, kata beliau, turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita yang tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah sebagai usaha menggalakkan wanita kembali bekerja.

Selain itu, beliau berkata inisiatif ‘Malaysia Short-term Employment Programme’ atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan mulai Januari 2022.

Menurut beliau, Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.

“Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif Jamin Kerja serta langkah pemulihan ekonomi dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat peritus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” katanya.

Bagi menggalakkan rakyat mengikuti program latihan dan bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan kepada RM2,000 hingga tahun 2023.

Tengku Zafrul berkata, pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000 turut diberikan kepada mereka yang mengambil kursus dengan badan-badan professional yang diluluskan merangkumi bidang perakaunan, kewangan, berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here